Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Nazri bahawa Dr Mahathir seorang ahli politik ‘low class’ disifatkan sebagai ‘kurang ajar’.
“Nazri Aziz ini jangan syok sendiri. Bagi tahu Nazri ini bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan tongkat dunia sampai bila-bila.
“Apabila Allah SWT kata masa dia sudah sampai untuk turun maka Najib Razak pun akan turunlah nanti.
“Apabila perkara ini berlaku kelak, InsyaAllah pada waktu itu saya nak tengok Nazri Aziz ini akan berada di mana? Sekarang dia boleh `loyar buruk’ cakap banyak. Tapi yakinilah pada suatu hari nanti dia akan tahu erti langit tinggi rendah,” katanya di Facebook.
Khairuddin berkata demikian mengulas kenyataan Nazri yang mendakwa, Dr Mahathir sudah sampai ke tahap ahli politik low class apabila menghalalkan apa saja cara asalkan niat menjatuhkan Najib tercapai termasuk bergabung dengan pembangkang.
Sebelum ini Nazri berkata, Dr Mahathir semakin terdesak kerana rancangannya untuk menjatuhkan Najib masih belum berjaya dan terpaksa menghalalkan apa saja cara asalkan niatnya tercapai.
Nazri mendakwa, dendam kesumat Dr Mahathir terhadap Najib telah melampaui daripada yang biasa.
Dalam pada itu, Khairuddin turut mempelawa Nazri untuk makan durian bersamanya di Hartamas.
“Insya-Allah nanti saya nak belanja Nazri untuk makan durian dengan saya di Hartamas di tepi jalan berhadapan dengan tapak kafe Uncle Don yang lama.
“Sambil makan durian bolehlah saya nak bersembang santai dengan Nazri menyingkap cerita-cerita lama yang menggembirakan serta yang menyayat hati. Kadang kala seronok juga berborak cerita lama,” katanya.
