Wan Ji pertahan Badrul Amin baca doa ‘mahazalim’

Wan Ji pertahan Badrul Amin baca doa ‘mahazalim’

Wan Ji meminta semua pihak mengambil kira pengalaman Badrul Amin yang menjadi mangsa ISA ketika Dr Mahathir masih menjadi Perdana Menteri.

wan-ji,dr-badrul-amin

PETALING JAYA:
Ustaz PKR, Wan Ji Wan Hussin mempertahankan Dr Badrul Amin yang dikritik kerana membaca doa yang didakwa menghina Tun Dr Mahathir Mohamad pada Himpunan Bantah GST pada Sabtu lalu.

Ketua Biro Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, Badrul Amin tidak boleh dipersalahkan kerana dia pernah menjadi mangsa kezaliman Dr Mahathir ketika masih bergelar Perdana Menteri.

“Jadi menghukum atau menghina Badrul Amin atas tindakan (doa) itu kurang tepat, sebagai mangsa (kezaliman) sudah pasti ia memberi kesan negatif dalam hidupnya,” katanya kepada FMT.

Pada akhir Himpunan Mansuh GST yang dihadiri Dr Mahathir pada Sabtu lalu, Badrul Amin berdoa meminta pemimpin ‘mahazalim’ yang bertanggungjawab memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi balasan yang setimpal.

Banyak pihak mendakwa doa Badrul Amin itu telah mengaibkan Dr Mahathir sebagai negarawan.

Badrul Amin antara lima pemimpin PKR yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Negeri (ISA) pada 2001 dan ditahan di Kem Kamunting selama dua tahun.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata, perbuatan Badrul Amin hampir sama dengan apa yang dilakukan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atau Mat Sabu (ketika masih dalam PAS) yang sering mengkritik Anwar.

“Semasa Anwar dipecat dari jawatan TPM pada tahun 1998 ,Allahyarham Fadzil Nor membela Anwar, walaupun ketika itu Mat Sabu dalam ceramah masih lagi hentam Anwar.

“Kebijaksanaan Fadzil Nor menyebabkan terjadi kerjasama dengan Anwar, sehingga kini, Mat Sabu adalah tokoh yang kuat pertahankan Anwar. Mungkin watak Badrul Amin ini sama iras dengan tindakan Mat Sabu suatu masa dahulu,” katanya.

Wan Ji bagaimanapun berkata, semua pihak dalam Pakatan Harapan perlu menghormati Dr Mahathir kerana bekas Perdana Menteri mempunyai tujuan yang sama dengan pembangkang- menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dan menyelamatkan Malaysia.

Badrul Amin ketika mempertahankan doa itu berkata, dia tidak berdendam dengan Dr Mahathir tetapi hanya mampu berdoa sebagai senjata kerana tidak mampu menegur secara berdepan dengan orang zalim.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak menyangka PKR boleh memalukan Dr Mahathir selepas dijemput sebagai tetamu pada Himpunan Bantah GST.

“Tidak terduga tergamak ustaz PKR (Badrul Amin) membaca doa laknat terhadap Tun M ketika Tun M sebagai tamu di atas pentas. Buat apa jemput dia kalau nak diapa-apakan begitu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.