21 peniaga dihalau di Ampang, IKHLAS minta SPRM siasat

21 peniaga dihalau di Ampang, IKHLAS minta SPRM siasat

IKHLAS juga menggesa SPRM menyiasat Zuraida dan dua wakil pimpinan di Ampang

ridzuan

PETALING JAYA:
Pertubuhan Ikatan Usahawan kecil dan Sederhana (IKHLAS) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes 21 peniaga di Bukit Ampang yang diarahkan berhenti berniaga.

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, dia telah menulis surat kepada SPRM agar menjalankan siasatan kerana mengesyaki terdapat unsur-unsur salah guna kuasa pihak yang terlibat.

Dia mendakwa, peniaga itu dihalau kerana pihak terlibat mempunyai rancangan untuk membangunkan tapak berkenaan sebagai kawasan pelancongan dan mahu mengelak membayar pampasan kepada peniaga yang terlibat.

“Kita telah hantar surat kepada SPRM. Kita harap SPRM jalankan siasatan terhadap mereka. Mohon SPRM siasat habis-habisan dalam perkara ini.

“Kita minta peniaga-peniaga teruskan perniagaan mereka walaupun apa berlaku, kita sanggup hadapan dengan sebarang tindakan,” katanya.

Ridzuan berkata, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Yang Dipertua Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Katanya, tindakan Zuraida yang didakwa meminta peniaga-peniaga di kawasan Bukit Ampang supaya menutup perniagaan yang telah beroperasi selama lapan tahun, tidak munasabah.

“Kita lihat isu ini, peniaga-peniaga seperti ditindas oleh YDP MPAJ, ADUN Lembah Jaya, dan Ahli Parlimen Ampang,” katanya.

Dalam masa sama, Ridzuan juga menggesa agar peniaga di Bukit Ampang meneruskan perniagaan seperti biasa dan tidak mengalah dengan sebarang desakan daripada pihak berkuasa di Ampang.

Sementara itu, wakil peniaga di Bukit Ampang, Anuar Omar, 55, berkata Zuraida telah bertindak tidak adil kerana peniaga di tempat lain masih dibenarkan berniaga di bahu jalan.

“Permohonan pihak peniaga Bukit Ampang telah ditolak disebabkan berniaga di atas jalan raya yang cerun dan berbahaya.

“Namun, kenapa di kawasan Ampang yang lain seperti Taman Putra yang berniaga di atas bahu jalan boleh berniaga dan isu cerun di Taman Saga sampai berniaga atas jalan raya boleh berniaga. Apa perbezaan kami di Bukit Ampang?, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.