Mereka ditahan selepas menyertai sejumlah 100 pemandu teksi lain dalam tunjuk perasaan membantah kereta sapu Uber dan GrabCar, dari KLCC ke Jalan Bukit Bintang semalam.
Kelima-lima pemandu teksi dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebaik dibebaskan, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (TEKS1M), Kamarudin Mohd Hussein berkata mereka terdesak kerana tiada jalan lain lagi.
“Pemandu teksi bersedia menghadiri mana-mana perhimpunan (seperti semalam) kerana pendapatan telah terjejas teruk.
“Mereka dikekangi dengan pelbagai kos sedangkan Uber dan GrabCar tiada tekanan yang sama,” katanya.

Keseluruhan Jalan Bukit Bintang terhenti pagi semalam selepas dihalang kira-kira 100 teksi yang meletakkan kenderaan di sepanjang jalan tersebut.
Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor semalam membidas himpunan tersebut dan menggesa pemandu teksi ‘melihat kesilapan sendiri’ berbanding menyalahkan Uber dan GrabCar.
Kamaruddin membalas kecaman itu dengan menggesa kerajaan mengubah dahulu keseluruhan sistem teksi yang didakwa menindas pemandu.
“Jika Ku Nan mahu teksi memberikan perkhidmatan seperti Uber, bebaskan dahulu kami dari ‘penjajahan moden’ ini.
“Bagi kami permit sendiri, hapuskan monopoli. Selesaikan masalah pokok kami dahulu iaitu dengan tukar sistem pengangkutan darat,” katanya disambut laungan takbir pemandu-pemandu lain.
Namun, beliau mengingatkan agar pemandu teksi agar tidak lagi menyertai mana-mana perhimpunan yang tidak diketahui penganjurnya seperti semalam, bagi mengelakkan sebarang masalah di masa akan datang.
