Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, apa yang telah dilakukan Dr Mahathir semasa mentadbir negara biarlah berlalu kerana perjuangan pembangkang ketika ini adalah untuk menyelamatkan Malaysia daripada kekejaman pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Johari berkata demikian kepada FMT di lobi Parlimen ketika ditanya samada pembangkang sedia untuk memaafkan kezaliman yang telah dilakukan Dr Mahathir semasa memerintah negara selama 22 tahun sekiranya berjaya menyingkirkan Najib menerusi kempen Selamatkan Malaysia.
“Kita bincang masalah sekarang dan akan datang (masa hadapan), saya ingat pendekatan itu adalah betul, soal maaf ke tak maaf ke itu cerita lain. Masalah yang kita hadapi ialah masalah pemerintah yang kelam kabut, ekonomi yang kelam kabut.
“PKR tidak akan ungkit benda lama (sikap Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri), kita fokus isu yang berlaku kepada negara sekarang, isu harga barang, isu pendidikan, isu keselamatan dan isu-isu besar seperti salahguna kuasa yang kita hadapi, berbanding bincang siapa salah siapa betul.
Kalau bincang benda lepas ia tak akan selesaikan masalah,” katanya.
Sementara itu, bagi Ahli Jawatankuasa Kerja AMANAH, Hanipa Maidin beliau berkata, tidak ada guna pembangkang menyerang Dr Mahathir sebagai usaha membalas dendam diatas kekejaman yang dibuat semasa mentadbir negara.
“Kita lawan dia (Dr Mahathir) masa dia ada kuasa sekarang dia tak ada kuasa dan sekarang bersama-sama kita nak lawan orang yang ada kuasa (Najib).
“Presiden AMANAH cakap semalam dia pun pernah kena tahan di bawah ISA dua kali, tapi sekarang kalau kita nak serang dia tak ada guna.
“Kalau nak ungkit banyak benda boleh ungkit, Anwar (Ibrahim) dulu masa dalam kerajaan pun banyak dia mendatangkan kesusahan kepada pembangkang,” katanya.
Manakala DAP mengambil pendirian yang lebih berhati-hati. Setiusaha Organisasi DAP, Anthony Loke tidak mahu mengulas lanjut samada sedia melupakan perbuatan Dr Mahathir dahulu kerana masih tidak yakin dengan usaha menjatuhkan Najib menerusi kempen Selamatkan Malaysia.