Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebaliknya berkata ganjil jika kita tidak pernah pula mengkritik budaya Barat sehingga ia menjadi ikutan bukan sahaja dalam pakaian bahkan tingkah laku dalam semua perkara sama ada baik atau buruk.
“Ada orang Melayu yang sudah tiada Melayu lagi sekalipun pada upacara ‘kemelayuan’. Hari diangkat menjadi ‘ketua Melayu’ pun tiada pakaian Melayu dan cara Melayu. Budaya dan pakaian begitu Barat sekali. Tidak pula kita nilai dengan kritis.
“Tiada salahnya untuk kita kritik budaya yang tidak sesuai dengan identiti baik kita, tapi dengan sikap adil untuk setiap budaya bukan dengan mentaliti yang double-standard.
“Islam tidak menyuruh Melayu menjadi Arab. Tidak pula supaya Melayu menjadi Barat. Apa yang disuruh adalah seperti Surah al-Hujurat iaitu ‘kenal-mengenal antara satu sama lain’.
“Sudah pasti antara tujuannya untuk mengambil manfaat dari budaya yang baik dan menghindari budaya yang tidak baik. Isunya bukan Arab ataupun Barat, tapi menilai antara yang positif dan negatif,” tulisnya Facebook.
Asri berkata, selain jubah, perlu disedari juga bahawa sebahagian perkataan Arab telah menjadi istilah yang dipakai dalam keilmuan Islam termasuk iftar, haji, masjid, sujud, rukuk dan seumpamanya.
“Tiada salahnya kita menggunakan istilah-istilah ini seperti mana banyak istilah Inggeris kita guna dalam bidang yang lain,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menggesa masyarakat Melayu agar tidak meminggirkan budaya mereka.
Tambah baginda lagi, mereka yang mahu “menjadi orang Arab” lebih sesuai menetap di sana.
“Jika ada sebahagian daripada anda mahu menjadi orang Arab dan mengamalkan budaya Arab, serta tidak mahu mengikut adat istiadat dan tradisi Melayu kita, itu terpulang kepada anda,” titah baginda.