TMJ ingatkan media jangan `spin’

TMJ ingatkan media jangan `spin’

Komen-komen tersebut adalah untuk memastikan dan mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar ia tidak berlaku lagi kepada pemimpin lain.

tmj-fb

PETALING JAYA:
Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengingatkan kepada media agar tidak memutarbelitkan kenyataannya berhubung krisis Perlembagaan pada 1992 yang melibatkan Istana Johor dengan Kerajaan Persekutuan.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) bertitah, beliau menegaskan kenyataanya itu ditujukan kepada kerajaan Persekutuan dan bukan ditujukan kepada Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sila baca dengan teliti apa yang saya katakan. Komen-komen yang saya buat sebelum ini diarahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Saya memberikan komen-komen tersebut untuk memastikan dan mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar perkara itu tidak berlaku lagi tanpa mengira siapa pemimpin.

“Ia tidak ditujukan kepada Tun Mahathir atau kepada sesiapa. Ia ditujukan kepada sistem. Saya tidak menyokong sesiapa yang korup,” katanya menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail turut mengigatkan media agar tidak mengambil kenyataanya di luar konteks.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada para media agar tidak memutarbelitkan kata-kata saya atau mengambil kenyataan saya di luar konteks,” katanya.

Semalam, Tunku Ismail mengingatkan pemimpin hari ini supaya menjadikan krisis Perlembagaan pada tahun 1992 sebagai pengajaran untuk tidak bersikap tamak dan haloba.

Katanya, pemimpin juga perlu menjadikan peristiwa hitam itu sebagai teladan untuk tidak bersikap gila kuasa.

Tunku Ismail bertitah, beliau tidak akan lupa krisis Perlembagaan pada tahun 1992 yang melibatkan Istana Johor dengan Kerajaan Persekutuan, di mana pegawai Kerajaan Persekutuan cuba memalukan Istana Johor.

Bagaimanapun, kenyataan beliau tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, namun, umum mengetahui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri ketika itu.

Namun, terdapat beberapa portal pro kerajaan yang telah memutarbelitkan kenyataan Tunku Ismail dengan mengatakan ia ditujukan kepada Dr Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.