Kenderaan menteri perlu pengecualian saman – Nur Jazlan

Kenderaan menteri perlu pengecualian saman – Nur Jazlan

Saman melebihi had laju sepatutnya difokuskan kepada pengguna jalan raya kerana timbalan menteri dan menteri terpaksa bergegas atas urusan kerja.

jazlan

KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat kenderaan rasmi menteri dan timbalan perlu diberi kelonggaran terhadap peraturan keselamatan jalan raya.

Katanya, menteri dan timbalan menteri hanya menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan kerajaan dan mereka perlu berkejar dari satu tempat ke satu tempat untuk urusan kerja.

“Biasanya kami (menteri, timbalan menteri) hendak cepat. (Pemandu) kami terpaksa memandu laju dari satu program ke satu program yang lain kerana masa yang suntuk.

“Kalau ada polis tahan, biasanya kami akan berterus terang yang kami baru selesai hadir satu program dan perlu hadiri satu lagi program dalam masa terdekat. Biasanya pihak berkuasa akan beri kerjasama,” katanya di Parlimen, hari ini, yang dipetik Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat yang berkata, mana-mana kenderaan rasmi menteri atau timbalan menteri yang dibawa melebihi had laju yang ditetapkan boleh disaman pegawai polis trafik.

Nur Jazlan mengakui setakat ini, kenderaan rasmi kerajaan tidak pernah menerima saman daripada polis trafik.

“Kenderaan rasmi kerajaan hanya untuk urusan rasmi kerajaan. Hanya sekali-sekala kami terpaksa memandu lebih had laju. Saman ini sepatutnya difokuskan kepada pengguna jalan raya.

“Berapa kali kita pernah dengar kenderaan rasmi menteri terlibat kemalangan? Tidak pernah. (Tetapi) Kadang-kadang atas urusan kerajaan, terpaksa lajukan kenderaan. Dan atas urusan kerajaan, ia perlu dimaafkanlah,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.