Dewan Rakyat mula panas apabila Guan Eng mendakwa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengunakan perkataan ‘bohong’ yang sengaja ditujukan kepada beliau pada 16 Mac lalu.
Namun, Abdul Rahman bangkit menafikannya dengan menjelaskan bahawa perkataan itu merujuk kepada istilah dalam bahasa Melayu dan bukannya dituju kepada Guan Eng.
Anggota Parlimen Kota Belud itu berkata, beliau tidak menuduh Anggota Parlimen Bagan itu berbohong, sebaliknya kenyataannya itu adalah mengenai penetapan harga RM400,000 bagi rumah mampu milik yang ditentukan Kerajaan Persekutuan adalah bohong.
Kemudian, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said Ismail memutuskan kenyataan yang dikeluarkan Abdul Rahman itu bukan bertujuan untuk serangan peribadi.
Berikutan itu, Guan Eng dan beberapa anggota parlimen pembangkang bangkit mendesak supaya kenyataan ‘bohong’ itu ditarik balik kerana didakwa menghina dan sengaja dituju kepada Guan Eng.
Antara anggota Parlimen pembangkang yang bangkit mempertahankan Guan Eng ialah Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), P Kasthuri (DAP-Batu Kawan) dan Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang).
Keadaan bertambah panas apabila, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) dan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), mencelah bahawa Guan Eng sengaja datang ke Dewan Rakyat membangkitkan isu itu untuk dihalau keluar.
Selepas hampir sejam kecoh, Ismail mengarahkan Guan Eng keluar dewan bersama dengan Teo Kok Seong (DAP-Rasah) kerana merakam kekecohan di dalam Dewan menggunakan telefon bimbit.
Abdul Rahman kemudian meneruskan penggulungan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.
