Kelantan bakal serap modul La Liga, Atletico Madrid – Datuk Vida

Kelantan bakal serap modul La Liga, Atletico Madrid – Datuk Vida

Ia merupakan keperluan untuk mengubah corak permainan pasukan Kelantan jika mahu mengungguli Liga Malaysia.

vida

PETALING JAYA:
Datuk Seri Hasmiza Othman mahu menyerapkan modul permainan pasukan La Liga, Atletico Madrid ke dalam sesi latihan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Memetik laporan Mstar Online, penaja utama pasukan bola sepak Kelantan itu yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, beliau telah menyediakan draf modul corak permainan itu yang diperolehinya semasa menyaksikan pertemuan antara pasukan La Liga itu dengan PSV Eindhoven pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.

“Saya dapat beberapa input berguna selepas menyaksikan pertembungan penuh dramatik itu. Saya amat terpegun dengan corak permainan Atletico yang berjaya memukau mata saya.

“Draf corak permainan tersebut sudah ada, cuma saya perlu bentangkan kepada pemain dan jurulatih untuk kita gunakan di dalam pasukan. Terdapat keperluan untuk ubah corak permainan pasukan jika mahu mengungguli Liga Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasmiza berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh PQPTRW adalah kemahiran mengawal, menggelecek dan membawa bola, teknik larian yang betul serta cara memperdayakan lawan perlu dikuasai setiap pemain.

“Sepatutnya setiap pemain perlu ada kemahiran seperti ini, tapi saya tengok ia masih belum ada dalam pasukan Kelantan. Kita perlu cari jalan untuk sesuaikan modul ini di dalam pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan belum berpuas hati dengan corak permainan Kelantan yang dirasakan terlalu banyak kelemahan dan perlu diperbaiki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.