Dah tahu projek kroni BN, kenapa masih sokong? – NGO

Dah tahu projek kroni BN, kenapa masih sokong? – NGO

Say No To DASH mempersoalkan pendirian kerajaan Selangor yang gagal memberi penjelasan berhubung pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

DASH

PETALING JAYA:
Penduduk Damansara Perdana mempersoalkan keputusan kerajaan Selangor yang masih menyokong pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) walaupun tahu ia projek kronik Barisan Nasional (BN).

Wakil ‘Say No To DASH’, Mak Khuin Weng berkata, penduduk kecewa terhadap Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa bersekongkol dengan BN bagi menjayakan projek tersebut.

“Sebelum ini kita pernah jumpa Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), dia sendiri berkata, kesemua projek lebuhraya ini (DASH) adalah projek kroni BN.

“Jadi kami hairan kenapa Kerajaan Selangor sekarang mahu bekerjasama dengan BN untuk mendirikan lebuhraya ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan bantahan bersama 100 penduduk di Damansara Perdana hari ini.

Khuin Weng berkata, Kerajaan Selangor sehingga kini gagal untuk memberi penjelasan kepada penduduk berkenaan projek DASH.

“Kami sudah bagi surat berapa kali baik kepada kerajaan negeri, kepada ADUN (Elizabeth Wong), tetapi sehingga kini tidak ada maklum balas dibuat pihak mereka.Bila kami tanya projek ini diluluskan atau belum mereka tak boleh jawab, inikah yang dikatakan kerajaan yang telus?

“Kami terpaksa membuat bantahan seperti ini kerana sudah tidak ada cara lain lagi kami boleh buat dan ini sudah kali ketiga kami buat sebegini sejak 2012.

“Sebelum ini mereka (pakatan pembangkang) cakap tidak akan luluskan DASH ini, tetapi apa yang kita nampak mereka sudah beli tanah untuk lebuhraya dengan harga RM80 juta dan tempoh pembayaran tol selama 65 tahun,”katanya.

Sementara itu, penduduk yang menyertai bantahan tersebut mahu memboikot kerajaan Pakatan Harapan kerana kerana gagal membela nasib rakyat.

“PRU 14 kita jangan kasi undi pada mereka lagi (pakatan pembangkang), Kita tak nak Azmin,, boo Azmin, turun Azmin,” kata kumpulan tersebut.

Penduduk Damansara Perdana membantah lebuhraya bertingkat tersebut kerana didakwa akan dibina dengan jarak hanya 11 meter daripada bangunan kondominium yang sedia ada, malah mereka bimbang [rpjek itu akan merumitkan lagi laluan jalan sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.