Bercakap di wacana dasar dan nilai demokrasi sosial, Meyer memberi amaran golongan kaya akan mengambil kesempatan daripada ketidaksamaan pendapatan untuk mempengaruhi dan memperalat politik.
Sementara itu, Meyer berkata, ketidaksamaan pendapatan menjejaskan ekonomi kerana ia boleh membawa kepada spekulasi pelaburan.
Pensyarah di Universiti Dortmund, Jerman, itu berkata pemerintah boleh cuba mengurangkan ketidaksamaan pendapatan melalui jaminan hak asasi untuk semua rakyat termasuk pendidikan percuma, perubatan percuma atau mampu milik, insuran pengangguran yang baik dan kebajikan sosial.
“Ini merupakan piawai kesamaan minimum.
“Pilihan lain adalah memperkenalkan cukai progresif seperti yang kami laksanakan di Eropah.”
Meyer menjelaskan di kebanyakan negara di Eropah, golongan berpendapatan tinggi akan membayar cukai hampir 50%, manakala golongan pertengahan akan membayar sekitar 25% manakala mereka yang berpendapatan rendah samada membayar kecil pada kadar yang kecil atau tidak perlu bayar sama-sekali.
Meyer, yang merupakan ahli Parti Demokrasi Sosial berkata kajiselidik menunjukkan masyarakat samar-ragam (homogenous) lebih cenderung membayar cukai.
Manakala dalam masyarakat yang majmuk etnik dan agama, kajiselidik yang sama menunjukkan seseorang itu tidak cenderung untuk membayar cukai bersama orang lain.
Tahun lalu, laporan Star Online memetik data Bank Dunia yang menunjukkan ketidaksamaan pendapatan di Malaysia kekal tinggi berbanding negara-negara yang lebih maju.
Pada 2014, koefisian gini Malaysia – yang mengukur ketidaksamaan pendapatan sesebuah negara – berada di paras 0.41 berbanding 0.31 dan 0.33 di Korea Selatan dan Jepun.
Tahun lalu dalam belanjawan 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan cukai pendapatan dinaikkan 1-3 peratus.
Berkuatkuasa tahun ini, jalur pendapatan yang boleh dicukaikan untuk kadar cukai tertinggi dinaikkan daripada 25% kepada 26% untuk mereka yang berpendapatan RM600,000 dan RM1 juta, manakala mereka yang berpendapatan RM1 juta, kadar cukai dinaikkan daripada 25% kepada 28%.
Menurut laporan Bernama, pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berkata langkah itu akan membantu mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.