Hilang giliran tunai haji jika keluarkan deposit – Jamil Khir

Hilang giliran tunai haji jika keluarkan deposit – Jamil Khir

Pengeluaran deposit telah menyebabkan diri mereka terkeluar giliran menunaikan haji dan terpaksa menunggu selama 70 tahun.

jamil-khir
KUALA LUMPUR: Pendeposit Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendeposit yang mengeluarkan simpanan mereka akibat percaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap TH baru-baru ini, akan secara automatik keluar daripada giliran menunaikan haji, jika mereka turut mengeluarkan deposit daftar haji.

Pendeposit perlu meletakkan deposit RM1,300 daripada wang simpanan untuk pendaftaran haji dan diberikan tarikh peruntukan haji mengikut giliran.

Mereka juga terjejas akan ruang mendapat dividen dan bonus jika mengeluarkan semua wang simpanan mereka, katanya.

“Bila mereka keluarkan deposit, dia keluarkan dirinya daripada giliran menunaikan haji…bila mereka tarik diri dan kemudian daftar semula, dia terpaksa menunggu pula mungkin lebih daripada 70 tahun,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin).

“Ada 8.8 juta pendeposit yang hendak menunaikan haji dan menyimpan dengan TH kerana mereka lebih selesa akan dividen simpanan yang tinggi serta sistem yang mematuhi syariah,” kata Ahmad.

Beliau membangkitkan kesan yang diterima TH susulan surat yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada organisasi itu, yang diputar-belit sesetengah pihak.

Jamil Khir berkata, penyebaran surat dari BNM melalui media telah menyebabkan TH dilemparkan dengan tuduhan-tuduhan rambang, analisis ‘separuh masak’ dan andaian negatif pelbagai pihak sehingga pendeposit TH menjadi mangsa.

“Situasi ini juga menyebabkan imej dan reputasi TH sebagai pengurus haji dan dana Islam yang cemerlang di Malaysia telah tercemar akibat daripada tuduhan-tuduhan tidak berasas ini,” katanya.

-BERNAMA

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.