Kebergantungan subsidi punca rakyat tak sedia tunai haji

Kebergantungan subsidi punca rakyat tak sedia tunai haji

Walaupun Tabung Haji tanggung hampir 50% jumlah bayaran haji, masih ramai tidak mampu kerana masalah kewangan.

LEMBAGA TABUNG HAJI
Separuh daripada pendeposit yang menerima tawaran haji setiap tahun terpaksa menolak atau menunda giliran, disebabkan kadar simpanan yang rendah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kebergantungan berpanjangan pada subsidi dianggap antara punca rakyat masih gagal membuat persiapan kewangan untuk menunaikan haji, meskipun kos ibadah itu meningkat saban tahun.

Pakar kewangan, Azizul Azli Ahmad, berkata walaupun Tabung Haji (TH) menanggung hampir 50% jumlah bayaran haji, masih ramai tidak mampu kerana faktor pendapatan isi rumah rendah, komitmen hutang, dan kurangnya literasi kewangan.

“Jadi sikap sambil lewa terhadap ibadah ini menjadikan kita tidak fokus sepenuhnya untuk menabung. Agak mengejutkan dengan 31,600 tawaran yang keluar, hampir separuh menolak atas faktor kewangan.

“Apabila literasi kewangan rendah ada persepsi menyatakan pergi haji ini akan dapat subsidi dan mereka merasakan tak adil bila tidak diberikan subsidi. Jadi, perkara itu yang akan mempengaruhi,” katanya kepada FMT.

Azizul mengulas pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, bahawa separuh daripada pendeposit yang menerima tawaran haji setiap tahun terpaksa menolak atau menunda giliran meskipun bantuan kewangan haji sudah disediakan.

Menurut Mustakim, perkara itu terjadi disebabkan kadar simpanan yang rendah oleh pendeposit.

Justeru, Mustakim memaklumkan pihaknya akan melaksanakan inisiatif peremajaan jenama itu dalam usaha memperkukuh peranan TH sebagai institusi tabungan Islam yang relevan dengan keperluan semasa, seterusnya memastikan umat Islam dapat menunaikan haji dengan lebih terancang dan terjamin.

Untuk rekod, kadar bayaran haji untuk seorang bakal jemaah muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40, dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.

Bagi kumpulan B40, bantuan kewangan haji diperuntukkan adalah RM18,300 atau 55%, manakala bagi jemaah haji dalam kalangan M40, sebanyak 29% atau RM9,800.

Perunding kewangan Infaq Consultancy, Afyan Mat Rawi, berkata isu kesedaran dan disiplin menabung yang masih rendah antara punca terjadinya pendeposit menolak tawaran ibadah haji.

Bagi memastikan simpanan mencukupi apabila menerima tawaran haji, umat Islam digalakkan menabung seawal mungkin.

“Sebaik sahaja mendapat nombor giliran, terus tetapkan sasaran simpanan bulanan. Contohnya, jika jangkaan tempoh menunggu giliran adalah 10 hingga 15 tahun, seseorang boleh mula menyimpan secara tetap RM100 hingga RM200 sebulan,” katanya.

“Selain itu, boleh juga mengasingkan dana haji dalam bentuk simpanan patuh syariah lain seperti Tabung Haji Online, instrumen simpanan tetap atau emas dengan disiplin, dan akhirnya memindahkan dana itu ke TH sebelum tempoh giliran tiba,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.