Sedia disiasat jika ingin ‘main’ dokumen sulit, Ramli nasihat Marzuk

Sedia disiasat jika ingin ‘main’ dokumen sulit, Ramli nasihat Marzuk

Timbalan speaker Dewan Rakyat berkata walaupun dilindungi imuniti Parlimen, Ahmad Marzuk Shaary boleh disiasat polis di luar dewan berhubung dakwaan dokumen sulit kos penjenamaan Tabung Haji.

ramli nor n Ahmad Marzuk Shaary
Ramli Nor berkata Ahmad Marzuk Shaary perlu berhati-hati apabila menggunakan dokumen sulit termasuk di bawah Akta Rahsia Rasmi.
PETALING JAYA:
Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) dinasihat supaya bersedia berdepan tindakan undang-undang sekiranya mahu meneruskan usul dengan memasukkan dokumen sulit berhubung kos penjenamaan semula Tabung Haji (TH).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor berkata meskipun Marzuk dilindungi imuniti Parlimen ketika berada dalam Dewan Rakyat, beliau masih boleh disiasat pihak polis di luar dewan.

“Tolong pesan kepada dia. Memang dalam dewan kita dilindungi oleh Perkara 63. Tetapi apa sahaja yang kita nyatakan di sini akan dipancarkan keluar.

“Di luar, sekiranya ada maklumat pertama, pihak berkuasa polis boleh menjalankan siasatan,” katanya sebelum sesi waktu pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat.

Semalam, Marzuk mendakwa menerima dokumen sulit berkaitan kos penjenamaan semula TH, yang menurutnya jauh lebih tinggi daripada angka RM5.9 juta seperti dinyatakan kerajaan.

Beliau mendakwa berdasarkan maklumat diperolehnya, kos sebenar melibatkan penggunaan khidmat perunding adalah sebanyak RM18 juta, berbeza dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, di Dewan Rakyat.

Marzuk turut menyatakan hasrat memasukkan dokumen sulit itu dalam usul yang akan dikemukakan kepada pejabat Speaker Parlimen.

Dalam pada itu, Ramli menegaskan berdasarkan pengalamannya selama 34 tahun dalam polis, Marzuk boleh dipanggil untuk disiasat sekiranya pihak berkuasa menerima maklumat berhubung perkara itu.

“Katakan ada orang memberi maklumat kepada polis, siasatan akan dibuka.

“100% Pengkalan Chepa (Marzuk) akan dipanggil. Dari mana kamu dapat dokumen itu? Sebab itu saya ingatkan, hati-hati bila nak ‘main’ dengan dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Na’im menegaskan TH tidak pernah memperuntukkan sehingga RM20 juta bagi projek penjenamaan semula. Beliau berkata, projek tiga tahun itu membabitkan kajian pasaran menyeluruh serta libat urus dengan 9.6 juta pendeposit bagi memahami keperluan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.