Jangan terpengaruh anasir luar keluar simpanan TH, tegas mufti WP

Jangan terpengaruh anasir luar keluar simpanan TH, tegas mufti WP

Mufti Wilayah Persekutuan Fauwaz Fadzil menasihatkan pendeposit TH tidak mengeluarkan simpanan kecuali atas sebab-sebab penting atau kecemasan.

tabung haji
Mufti Wilayah Persekutuan Fauwaz Fadzil berkata simpanan di TH wajib dipertahankan kerana ia instrumen penting dalam menguruskan ibadah haji rakyat Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Umat Islam diingatkan tidak terpengaruh anasir luar cuba melemahkan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Mufti Wilayah Persekutuan, Fauwaz Fadzil.

Beliau berkata, simpanan di TH wajib dipertahankan kerana ia instrumen penting dalam menguruskan ibadah haji rakyat Malaysia.

“Jangan terpengaruh dengan anasir luar, jangan keluarkan daripada TH melainkan atas sebab-sebab mungkin dia nak guna untuk anak dia, bukan sebab pengaruh (pihak tertentu),” katanya selepas menghadiri Quran Hour di Masjid Negara.

Kelmarin, TH mendedahkan lebih 15,000 atau 50% daripada 31,600 pendepositnya yang menerima tawaran haji tahun ini terpaksa menolak atau menunda giliran mereka akibat masalah kewangan meskipun bantuan kewangan haji disediakan.

Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain dilaporkan berkata, 53% daripada pendepositnya tidak memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM1,300, jumlah minimum diperlukan untuk pendaftaran haji.

Katanya, TH kini kurang dilihat sebagai institusi tabungan yang mampu menarik simpanan secara konsisten, khasnya apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain lebih menarik seperti unit amanah, emas dan Skim Persaraan Swasta (PRS).

Beliau berkata, secara umumnya, pendeposit TH membuat pengeluaran bersih sebanyak RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun terakhir, iaitu jumlah pengeluaran melebihi jumlah deposit baharu dan tiada pertumbuhan simpanan organik atau “wang segar” masuk ke dalam TH.

Menurutnya, dana yang ada hanyalah pusingan daripada keuntungan pelaburan didepositkan semula, bukan simpanan baharu pendeposit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.