
Menurut TH, fi tersebut melibatkan penyelidikan dan kajian pasaran, audit dan pelan penjenamaan, perhubungan awam dan latihan pembudayaan dalaman.
“Setakat ini, sebanyak RM1.6 juta telah dibayar mengikut jadual bayaran. TH menegaskan bahawa tiada sebarang kontrak atau pelantikan lain telah dibuat bagi inisiatif ini,” menurut kenyataan.
Pada 18 Ogos lalu, Dewan Rakyat diberitahu TH mengesahkan kos menggunakan perunding ialah RM5.9 juta untuk tiga tahun, dan bukan RM20 juta seperti didakwa, lapor Bernama.
Na’im memaklumkan bahawa syarikat yang dilantik bagi projek penjenamaan TH merupakan gabungan konsortium, terdiri daripada empat syarikat tempatan berpandukan kepakaran dan kebolehan selari dengan keperluan.
Katanya, konsortium itu dianggotai golongan profesional berbilang kaum, dan pemilihan syarikat berkenaan mendapat kelulusan menerusi kaedah dan tadbir urus perolehan TH, yang dikawal selia oleh lembaga pengarah.
Menurutnya, TH melakukan semakan penjenamaan sebanyak tiga kali sejak 1963, iaitu pada 1969, 1995 dan 2009.
Sementara itu, Na’im menegaskan TH sentiasa mengutamakan syarikat Bumiputera di bawah polisi perolehannya.
Katanya, pada tahun lepas, 81% daripada vendor dilantik TH adalah syarikat Bumiputera, melibatkan 70% daripada jumlah perbelanjaan TH.
Kelmarin, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mendakwa menerima dokumen sulit berkaitan kos penjenamaan semula TH, yang menurutnya jauh lebih tinggi daripada angka RM5.9 juta seperti dinyatakan kerajaan.
Semalam, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor sebelum sesi pertanyaan menteri menasihatkan Marzuk supaya bersedia berdepan tindakan undang-undang sekiranya mahu meneruskan usul dengan memasukkan dokumen sulit.