Kaji hukuman sebat dikhalayak agar tidak ‘makan diri’

Kaji hukuman sebat dikhalayak agar tidak ‘makan diri’

Kerajaan Kelantan kena perhalusi kehendak syariat berasaskan 'fikh semasa, supaya cara hukuman itu tidak dilihat janggal dan diterima semua pihak.

public-caning
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan digesa supaya mengkaji secara terperinci hukuman sebat terhadap penzina di khalayak agar pelaksanaannya nanti tidak akan `memakan diri’.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, langkah berkenaan wajar untuk disambut baik namun, kerajaan negeri perlu memperhalusi sedalam-dalamnya kesan di atas tindakan yang akan diambil.

“Kita puji kesungguhan kerajaan Kelantan itu, sebab dia punya cita-cita untuk laksanakan hukum Islam itu tinggi, tetapi pelaksanaannya kena betul jangan sampai ‘makan diri’.

“Malah saya rasa kerajaan Kelantan kena perhalusi kehendak syariat berasaskan ‘fikh semasa’ supaya cara kita melaksanakan hukuman itu tidak dilihat janggal oleh mana-mana pihak dan dapat diterima sekaligus tidak akan menimbulkan kontroversi,” katanya kepada FMT.

Sehubungan itu, pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu mencadangkan supaya setiap pandangan daripada semua pihak perlu diambil agar ia diterima masyarakat dalam dan luar negara.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kerajaan Kelantan menyokong cadangan seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu supaya penzina disebat di khalayak umum selepas solat Jumaat, malah menganggap cadangan itu baik kerana dapat memperkenalkan undang-undang hudud secara perlahan-lahan di negeri itu.

Zuhdi menambah, masyarakt bukan Islam tidak perlu khuatir dengan cadangan tersebut hanya untuk umat Islam sahaja kerana ia kehendak agama.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.