Anak Najib tidak paksa Zouk henti persembahan

Anak Najib tidak paksa Zouk henti persembahan

Ia dikatakan berpunca akibat salah faham mengenai masa persembahan deejay jemputan dan pihak pengurusan Zouk yang tidak ada kena mengena dengan Ashman.

rizal-mansor-zouk

PETALING JAYA :
Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor menafikan dakwaan bahawa anak Perdana Menteri, Norashman Najib memaksa Zouk Singapura atau deejay memberhentikan persembahan.

Menceritakan mengenai kejadian tersebut, Rizal berkata, Ashman mula membuat persembahan selepas tamat sesi deejay jemputan oleh Zouk.

“Bagaimanapun berlaku sedikit salah faham antara pihak pengurusan Zouk dengan deejay jemputan tersebut mengenai masa mula dan tamat persembahan.

“Salah faham itu adalah antara pengurusan Zouk dengan deejay jemputan mereka dan tidak ada kena mengena dengan Ashman.

“Berita yang mengatakan bahawa Ashman memaksa pihak Zouk atau DJ memberhentikan persembahan adalah tidak benar sama sekali,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Rizal berkata, Ashman tidak pernah meminta untuk membuat persembahan dan beliau hanya datang atas jemputan yang dibuat oleh pihak pengurusan Zouk bagi membuat persembahan penutup.

“Mana mungkin Ashman boleh memaksa sesiapa,” katanya.

Sebelum ini, Zouk Singapura didakwa menghentikan set (senarai) lagu pilihan deejay Mesir yang terkenal Aly dan Fila supaya set lagu anak Perdana Menteri, Norashman dapat dimainkan.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada Sabtu lepas dan kini menjadi viral di media sosial dengan video berkenaan disiarkan di Facebook dan You Tube.

Penjelasan Rizal Mansor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.