Kakak kepada Zaharie, Sakinab Shah meminta agar tidak menuduh sebarangan sehingga belum ada sebarang kepastian tentang apa yang berlaku sewaktu pesawat itu hilang.
“Dua tahun berlalu, derita hanya kami yang tanggung. Usahlah terus menghukum adik saya atas kesalahan yang belum pasti dia lakukan,” luah Sakinab Shah kepada The Associated Press dalam temu bual eksklusifnya, lapor Astro Awani.
Kakak sulung Zaharie menambah, adiknya itu dituduh sebagai seorang jihad, mempunyai masalah dalam perkahwinan dan atas sebab-sebab politik, mendorong Zaharie menjatuhkan pesawat malang berkenaan.
“Tiada apa yang nyata dan membuktikan dia (Kapten Zaharie) bersalah. Ia sama seperti menjangkakan dia bersalah sehingga dia dibuktikan tidak bersalah,” katanya.
Tambahnya lagi, segala teori dan spekulasi yang dibuat hanya menambah duka kepada keluarganya selain mengajar dia dan keluarganya untuk lebih bersabar menghadapi segala dugaan itu.
Di sebalik tuduhan dan tohmahan, masih tiada sebarang bukti yang menunjukkan kehilangan pesawat itu mempunyai kaitan dengan Zaharie mahupun pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid melakukan sebarang kesalahan.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu disahkan berakhir di Lautan Hindi.
Setakat ini pelbagai pihak melapor menemui serpihan yang didakwa milik pesawat malang berkenaan dan semua dakwaan itu disiasat dari masa ke masa.
Bagaimanpun hanya flaperon pesawat yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis pada akhir Julai lalu yang disahkan milik MH370.
Usaha pencarian pesawat tersebut masih diteruskan oleh Malaysia, Australia dan China melibatkan kos US$130 juta (RM550 juta).