
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek berusia 46 tahun akan didakwa di Mahkamah Sesyen sebaik siasatan dan proses pendakwaan dilengkapkan.
Katanya, minggu lalu suspek berdepan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas membabitkan kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki selain pemilikan bahan lucah yang dijumpai di dalam telefon bimbit miliknya.
“Bukan itu sahaja, suspek turut berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Isnin lalu atas kesalahan sama membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun,” katanya dalam sidang media selepas di IPK Kelantan, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, polis menahan semula suspek selepas menerima aduan baharu daripada seorang lagi mangsa lain berusia belasan tahun di lokasi sama.
“Dalam masa terdekat enam lagi pertuduhan akan dibuat terhadap suspek selepas ini. Siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan,” katanya.
Yusoff berkata, difahamkan suspek mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengasas perniagaan di Kelantan selain terdapat pengikut tersendiri di media sosial.
Media sebelum ini melaporkan, suspek kali pertama didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas 11 Sept lalu atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibebaskan dengan jaminan RM45,000.
Pada 19 Sept lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, suspek didakwa dengan dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki dan diikat jamin RM18,000.
Sebutan semula kes ditetapkan 5 Nov.