Rani Kulup beri amaran, batalkan Kursus Marxisme Kilat

Rani Kulup beri amaran, batalkan Kursus Marxisme Kilat

Ia disebabkan penganjuran kursus itu dilihat seolah-olah mahu menghidupkan fahaman komunis di negara ini.

rani-kulup,max

PETALING JAYA :
Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) memberi amaran kepada penganjur Kursus Marxisme Kilat supaya membatalkan hasrat mereka itu yang mahu mengadakan kurus tersebut pada 20 Mac ini.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, penganjuran kursus itu dilihat seolah-olah mahu menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.

“Komunis sudah tidak ada. Komunis punya tentera telah habis kita perangi. Sampai sekarang sudah tidak ada dah Parti Komunis Malaya. Jadi kenapa sekarang ada unsur-unsur usaha membuat satu kursus mengenai fahaman komunis..buat apa?

“Banyak tentera dan polis yang cedera, mati, orang kampung…rakyat dah senang sekarang ini ada pula satu badan yang nak buat Kursus Marxisme Kilat. Jadi ayah rasa PDRM kena siasat, panggil pihak penganjur untuk siasatan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Lapan pertubuhan bukan kerajaan lain (NGO) turut membuat laporan mengenai perkara sama antaranya, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Pertubuhan Kebajikan Kris Mas Malaysia (Kris Mas) dan Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS).

Rani Kulup atau mesra dengan panggilan `ayah’ dalam pada itu turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebut lagi perkataan komunis dalam negara ini.

“Jangan disebut-disebut lagi dah komunis dalam Malaysia ini, tak payah, dah habis, selesai. Rakyat akan marah, bekas-bekas tentera yang sengsara yang putus kaki, yang putus tangan yang kena tembak terutama yang mati, keluarga-keluarga mereka akan rasa sedih,” ujarnya.

Katanya, jika perkara itu dibiarkan, lama kelamaan ia boleh menjadikan suasana kelam-kabut ekoran akan ada pihak-pihak yang akan mencetak dan menyebarkan buku mengenai fahaman komunis.

“Ini yang kita tak nak. Biar kita banteras dari awal sebelum dia jadi lagi besar,” katanya.

Kursus Marxisme Kilat itu dijadualkan berlangsung di Gerak Budaya Petaling Jaya dan terbuka kepada sesiapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.