Hakim Abdul Rashid Daud membuat arahan itu selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan wujudnya prima facie terhadap Tian Chua yang didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
“Apa yang diucapkan dalam forum itu mempunyai kecenderungan menghasut orang ramai,” katanya.
Perbicaraan akan diteruskan pada 25 dan 26 April ini.
Ketika ditanya jurubahasa mahkamah di manakah beliau bersedia untuk memberi keterangan, Tian Chua menjawab “saya bersedia memberi keterangan di kandang saksi”.
Sementara itu, peguam Tian Chua, New Sin Yew ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihak pembelaan akan membantah hujah pendakwaan kerana ayat-ayat yang digunakan anak guamnya itu biasa digunakan oleh orang ramai.
“Jika kata-kata itu ditafsirkan sebagai menghasut maka ia berbahaya kepada orang ramai,” katanya.
Mengikut pertuduhan itu, sekiranya Tian Chua didapati bersalah boleh dihukum denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika beliau didenda melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
