
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan perpecahan di ruang siber, malah berpotensi mewujudkan permusuhan dalam masyarakat jika tidak dibendung sejak awal.
Katanya, perbuatan itu jelas melanggar undang-undang, khususnya Akta Hasutan 1948 yang melarang sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap institusi diraja dan kerajaan.
“Kenyataan atau tindakan berunsur hasutan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan Kumar dibuat susulan kritikan terhadap dakwaan penahanan seorang pengguna TikTok di bawah Akta Hasutan kerana dipercayai menghina perdana menteri.
Individu dikenali sebagai Jorjet Myla dilaporkan ditahan dan direman selama tiga hari kerana memuat naik video yang mengkritik perdana menteri, sekali gus mencetuskan bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang.
Bagaimanapun, setakat ini pihak polis belum mengesahkan penahanan tersebut.
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengkritik tindakan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai langkah tidak seimbang dan menyalahi undang-undang.
Menurut Suhakam, hak untuk menyuarakan pandangan, termasuk kritikan terhadap kerajaan dan pemimpin, dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, pemimpin Wanita DAP Sangeet Kaur Deo turut mengecam penahanan itu dengan menyatakan ia menunjukkan Akta Hasutan masih digunakan di Malaysia walaupun pernah ditentang keras oleh Pakatan Harapan sebelum ini.