
Bekas naib presiden PKR itu berkata perjuangan melawan rasuah tidak berakhir dengan satu perhimpunan atau sekadar tangkapan terhadap seorang individu sahaja.
Beliau berkata gerakan itu perlu melangkaui desakan untuk menahan individu tertentu kerana rasuah merupakan isu sistemik yang memerlukan komitmen jangka panjang untuk dihapuskan.
“Itulah sasaran saya (hapuskan rasuah). Sabtu ini bukan penghujung perjuangan kita lawan rasuah.
“Ini bukan ‘grand finale’ tetapi adalah satu ikrar bahawa kita komited untuk membina masyarakat bebas rasuah.
“Kita komited membela nasib rakyat dan kita komited untuk perjuangan jangka panjang,” katanya dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor menjelang perhimpunan tersebut.
Perhimpunan itu akan diadakan di Dataran Merdeka bagi mendesak siasatan penuh terhadap dakwaan berkaitan pegangan saham ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peserta perhimpunan juga menuntut siasatan terhadap dakwaan manipulasi pengambilalihan korporat yang melibatkan pegawai SPRM.
Tian Chua menggesa golongan belia dan pelajar supaya terus teguh dalam usaha memerangi rasuah, dan berkata ujian sebenar apabila mereka memegang peranan kepimpinan dalam pelbagai sektor masyarakat pada masa akan datang.