Nazri Aziz ‘kucing kurap’, tak layak kritik Muhyiddin

Nazri Aziz ‘kucing kurap’, tak layak kritik Muhyiddin

Sebagai Timbalan Presiden yang dipilih secara sah, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai hak untuk bercakap mengenai apa saja isu rakyat dan negara.

nazri-khairuddin-muhyidin

PETALING JAYA:
Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak layak membuat kritikan kepada Tan Sri Muhyiddin kerana beliau hanya dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, bukannya menang pemilihan.

Bekas Naib Ketua Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Nazri tidak ubah seperti ‘kucing kurap’ kerana lantang mendesak Muhyiddin meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO.

“Sedarlah diri tu sikit. Inilah budaya kurang ajar yang sedang menyusup serta merosakkan parti UMNO. Pemimpin haprak macam Nazri Aziz inilah yang membuatkan UMNO semakin dibenci dan ditolak oleh rakyat jelata.

“Sebagai Timbalan Presiden yang dipilih secara sah Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai hak untuk bercakap mengenai apa saja isu-isu yang sedang membelenggu pemikiran rakyat di negara kita.

“Rakyat mahukan kebenaran. Rakyat nak tahu secara sahih, terang, jelas serta mendalam khususnya kes skandal yang berkaitan dengan skandal 1MDB,” katanya menerusi posting terbaharu Facebooknya.

Semalam, Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mengingatkan Muhyiddin supaya tutup mulut daripada mengkritik Perdana Menteri atau berdepan digantung jawatan dalam parti.

“Saya nak bagi tahu Nazri Aziz agar jangan gusar kerana sudah terlambat serta sukar untuk sesiapa pun yang nak sorokkan isu kes skandal 1MDB ke pengetahuan rakyat jelata. Malahan ia telah menjadi satu isu dunia pun dewasa ini.

“Budak Nazri Aziz juga tolonglah jangan serang Timbalan Presiden UMNO yang sah kerana Tan Sri Muhyiddin yassin berada di hirarki kedua tertinggi parti.Apa pun kita semua tak perlu layan kerenah budak bangang Nazri Aziz ni.Suruh dia suluh dan cerminkan muka dia terlebih dahulu,” tambah Khairuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.