Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata sekiranya itu benar berlaku, PPMM sedia menawarkan khidmat guaman syarie bagi membantu menyelesaikan masalah itu.
“PPMM menawarkan khidmat guaman syarie sekiranya benar terdapat orang bukan Islam yang dipaksa memeluk Islam atau pemelukan Islam mereka dibuat tidak selari dengan kehendak Hukum Syarak.
“Sebagai menjunjung perintah agama, PPMM bersedia meneliti setiap kes jika dirujuk bagi memastikan konsep kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainul berkata demikian mengulas lanjut laporan sebuah portal yang mendedahkan pasukan tindakan dianggotai 8 pertubuhan Hindu, Hindu Conversion Action Team, , yang mendedahkan angka yang mengejutkan itu.
Sehubungan itu, Hindu Conversion Action Team mengambil langkah untuk membawa masalah itu kepada perhatian Perdana Menteri.
Menurut Presiden Hindu Sangam Malaysia (MHS) Datuk R.S. Mohan Shan, masalah itu meluas di seluruh Semenanjung dan melibatkan individu yang kebanyakannya berpendapatan rendah yang mengamalkan agama Hindu tetapi didokumenkan sebagai muslim.
Mengulas lanjut, PPMM mengesyorkan lapan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawah Hindu Conversion Action Team tampil memberikan perincian 7,000 kes yang didakwa mereka satu persatu agar dapat diperhalusi dan tindakan susulan diambil jika benar dakwaan tersebut.
Katanya, Mahkamah Tertinggi negara secara tuntas bahawa pemelukan Islam adalah isu agama Islam dan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
“Tidak ada jalan lain selain dari memohon suatu perintah di mahkamah syariah. Tidak timbul persoalan mereka tidak Islam dan tidak perlu pergi ke mahkamah syariah kerana dari sudut undang-undangnya selagi perkataan Islam itu wujud di kad pengenalan mereka, mereka hendaklah disifatkan sebagai Islam,” jelasnya.