Indeks Persepsi Rasuah tak gambarkan keadaan sebenar – IIM

Indeks Persepsi Rasuah tak gambarkan keadaan sebenar – IIM

"Ini indeks persepsi, berbeza dengan realiti. Tambahan pula ia persepsi orang luar," kata Presiden IIM, Dr Anis Yusal Yusoff.

dr-ais-indeks

KUALA LUMPUR:
Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Anis Yusal Yusoff menyangkal tanggapan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku.

Tanpa menolak sepenuhnya penggunaan indeks itu, beliau mendakwa, pemarkahan CPI berdasarkan pandangan orang luar yang datang ke negara ini dan bukannya rakyat Malaysia sendiri.

“Kita kena faham bagaimana CPI dikaji. Ia daripada banyak laporan yang dibuat agensi serata dunia, yang berdasarkan pandangan persepsi orang luar yang datang ke sini. Mereka tidak ambil kira pandangan rakyat tempatan, takut ‘bias’.

“Ini indeks persepsi, berbeza dengan realiti. Tambahan pula ia persepsi orang luar. Misalnya ada yang pernah datang ke sini dan ditipu, selamanya mereka akan kata Malaysia negara yang menipu,” katanya dalam sesi wawancara 16 Feb lalu.

Pandangan ini ternyata berbeza dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low kepada FMT pada 14 Februari lalu, yang menganggap kedudukan Malaysia dalam CPI memang mencerminkan keadaan sebenar Malaysia.

Malaysia berada pada kedudukan ke-54 dalam CPI 2015, merosot empat kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

CPI mengkaji sejauh mana sektor awam sesebuah negara dilihat sebagai korup, dan menggunakan perkaedahan yang berbeza bagi setiap tahun.

Bekas Penolong Wakil Residen Pejabat United Nations Development Programme (UNDP) itu juga mendakwa, pengkaji yang merangka CPI iaitu Johann Graf Lambsdorff sendiri sudah tidak bersama TI kerana merasakan indeks itu digunakan terlalu berlebih-lebihan.

“Prof Lambsdorff yang merangka CPI sendiri letak jawatan dan tidak mahu teruskan, kerana rasa ia berlebihan. Tetapi tiada masalah untuk TI terus menggunakannya.

“Cuma apa tujuan kita ketika menggunakan indeks ini. Jika mahu pastikan apa masalah di Malaysia, ia hanya persepsi orang luar. Walaupun kita akui rakyat Malaysia juga ada persepsi sendiri,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.