Pengerusinya, Datuk Yunus Pathi berkata demikian kerana program seumpama itu pernah dijalankan oleh pusat serenti bersama Tabung Haji gagal kerana wujud diskriminasi dalam aspek gaji yang ditawarkan kepada bekas penagih dadah.
“Ini yang saya khuatir (kegagalan lama berulang) sekiranya ada pihak yang cuba menggunakan peluang mengaut keuntungan pekerja (bekas penagih). Cadangan YB itu baik dan bagus, saya setuju tetapi harus profesional supaya bekas penagih dadah tidak didiskriminasi dengan pemberian gaji yang tidak setimpal. Ia akan menyebabkan mereka berpatah balik kepada dadah kerana kecewa wujudnya penindasan.
“Tetapi kalau haknya sebagai pekerja dijaga, ada KWSP, SOCSO dan lain-lain, mereka (bekas penagih) suka untuk bekerja,” katanya dalam satu temubual bersama FMT.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mencadangkan agar bekas penagih dadah dimanfaatkan untuk bekerja dalam sektor perlagangan menerusi OPAL bagi mengurangkan kebergantungan kepada warga asing.
Mengulas lanjut, Yunus juga mengalu-alukan bekas penagih diterima dalam semua sektor kerana mereka bukan penjenayah sehingga dihalang untuk bekerja.
“Mereka ini sebenarnya sesuai bekerja di semua sektor, cuma perlukan pemantauan dan diawasi oleh mentor mereka. Malah tidak ada masalah atau risiko menggaji mereka kerana mereka bukan penjenayah,” katanya.
Sementara itu, bagi Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),Abdullah Sani Abdul Hamid pula berpendapat, bekas penagih dadah sesuai bekerja di sektor perladangan berbanding pekerjaan lain kerana ia mampu membantu merawat mereka daripada mengulangi kesalah lalu apabila diletakkan jauh daripada masyarakat.
