Menteri Pelajaran,Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Bashah mempunyai kuasa penuh sama ada mahu memilih EXCO baharu atau mengekalkan yang lama untuk mentadbir negeri Kedah di bawah kepimpinanya.
Beliau yang juga timbalan pengerusi perhubungan UMNO Kedah menegaskan, pihak lain tidak berhak mencampuri urusan pelantikkan EXCO baharu jika ada.
“Bila seseorang itu menjadi Menteri Besar, dia (Bashah) berkuasa untuk melantik, oleh kerana dia masih baharu dan kita beri peluang padanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) kali ke-6 di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Ahmad Bashah dilaporkan berhasrat mengekalkan kesemua sembilan EXCO di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Namun beliau dikatakan menerima tekanan daripada penyokongnya supaya membuat perubahan barisan EXCO dengan melantik muka baharu.
Terbaharu Jemaah Pemangku Sultan telah memperkenan senarai baharu EXCO Kedah, yang dijadual mengangkat sumpah pada Isnin ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin; ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Hussain; ADUN Pantai Merdeka, Ali Yahaya dan ADUN Pedu, Kama Noriah Ibrahim disebut-sebut sebagai antara nama mengisi senarai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri itu.