Zeti: Bank Negara perlu kekal bebas agenda politik

Zeti: Bank Negara perlu kekal bebas agenda politik

Beliau mengingatkan tidak pernah dalam sejarah ahli politik dilantik memegang jawatan penting di Bank Negara.

zeti

KUALA LUMPUR:
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengaku beliau seronok melihat bank pusat itu menjadi sebuah institusi yang bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak termasuk pengaruh politik

“Saya seronok melihat BNM menjadi sebuah institusi yang bebas. Saya sudah menjadi Gabenor kepada beberapa perdana menteri dan juga menteri kewangan. Saya berharap ia akan berterusan begini (bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak).

“Saya percaya negara perlukan institusi seperti BNM. Ini kerana BNM tidak terpengaruh dengan mana-mana perkembangan politik dan agenda politik,” katanya ketika ditemui pemberita di Sasana Kijang, BNM, hari ini.

Zeti berkata, dalam sejarah BNM, tiada ahli politik yang terlibat atau memegang mana-mana jawatan atau tugas di institusi berkenaan.

“Jika kita mengikuti perkembangan institusi kewangan, tidak ada ahli politik yang dilantik memegang mana-mana jawatan dalam BNM,” katanya apabila mengulas bakal penggantinya.

Mengenai ciri-ciri penggantinya selepas beliau tamat tempoh perkhidmatannya pada April nanti, Zeti berkata, Gabenor baharu harus mempunyai kriteria dan latar belakang yang kukuh sesuai dengan jawatan yang disandang.

“Gabenor Bank Negara yang baharu harus mempunyai latar belakang yang relevan, kebolehan terutama pada situasi begini. Saya percaya ia akan berjalan dengan lancar.

“BNM merupakan sebuah institusi yang kukuh. Selain mempunyai kekuatan yang tersendiri. BNM mempunyai kuasa yang meluas selain bebas. Kita mendapat kepercayaan untuk menjalankan tugas kita,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.