
Tan Sri Dr Ibrahim Lembut yang menyatakan sokongan itu berkata, perkara tersebut merupakan salah satu perancangan awal dari pihaknya.
“Saya sangat setuju (tubuh tribunal). Itu perancangan awal kita. Hakim Mahkamah Sivil dan Syariah duduk bersama.
“Itu kita boleh dapat apa kelebihan yang dikehendaki agama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Wacana Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini.
Baru-baru ini, Persatuan Peguam Muslim Malaysia mencadangkan supaya sebuah tribunal, yang dianggotai hakim-hakim mahkamah syariah dan sivil ditubuhkan bagi mencari penyelesaian secara baik terhadap kes penjagaan anak antara agama.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tribunal itu boleh menjadi platform terbaik bagi para hakim untuk bersama-sama menyelesaikan perkara tersebut demi kebaikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit.
Penubuhan tribunal itu dicadangkan selepas Mahkamah Rayuan baru-baru ini memberi keputusan mengenai kes melibatkan guru tadika, M. Indira Gandhi, yang mana anak-anaknya memeluk Islam selepas bekas suaminya K. Patmanathan berbuat demikian dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan Abdullah.