Katanya, beliau bersikap terbuka dengan hasrat pengarah filem Melayu tempatan, Aziz M. Osman yang juga dikenali sebagai ‘Steven Spielberg’ Malaysia.
Nik Mohamad Abduh yang juga Ketua Pemuda PAS bagaimanapun menetapkan syarat bahawa fakta mengenai diri Nik Abdul Aziz perlu difilemkan dengan betul.
“Kita mengalu-alukan sebarang usaha untuk menonjolkan almarhum ayahanda. Cuma kita harap, fakta kena betul, gunakan fakta yang sama.
“Jangan buat filem tambah-tambah sehingga generasi akan datang fahami sejarah ayahanda tok guru dengan fakta yang salah,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.
Semalam, Aziz M Osman yang sering menghasilkan filem-filem sains fiksyen menyatakan beliau yakin mampu hasilkan filem yang mengisahkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagaimanapun impian tersebut dapat direalisasikan sekiranya masyarakat negara ini bersatu dari segi hati dan pemikiran.
