Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Krishnan mempersoalkan penangguhan itu dan mendakwa ada majikan tertentu yang mengambil kesempatan daripada sistem sedia ada.
“Kita tidak faham mengapa Jemaah Menteri menangguhkan kenaikan levi itu kerana kita berpendapat majikan menyalahguna sistem untuk membawa masuk lebih ramai orang asing daripada menggaji anak tempatan.
“Hanya kerana majikan menunjuk perasaan di hadapan kementerian maka Jemaah Menteri menangguhkannya. Tindakan pemerintah itu sangat tidak munasabah,” kata Gopal ketika dihubungi FMT.
MTUC berpendirian kewajipan membayar levi pekerja asing harus dipikul pihak majikan seperti yang diamalkan sebelum 2013.
Sementara itu, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) memuji langkah Jemaah Menteri menangguhkan kenaikan levi itu.
“Kami mengalu-alukan langkah Jemaah Menteri itu. Sekurang-kurangnya kini kami tahu pemerintah mendengar isu berbangkit dan mengambil kira permintaan daripada pihak industri,” kata Naib Presiden MBAM, A.K Nathan Elumalay ketika dihubungi FMT.
MBAM yakin isu berbangkit akan dapat ditangani dengan baik kerana kenaikan levi ditangguhkan bagi mencari penyelesaian yang paling sesuai untuk semua pihak yang terkesan.