Ahmad Bashah dijangka umum barisan EXCO minggu depan

Ahmad Bashah dijangka umum barisan EXCO minggu depan

Barisan EXCO baharu itu dijangka diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah

ahmad-bashah_kedah_exco_600

PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dijangka mengumumkan barisan EXCO baharu negeri itu pada minggu depan.

Utusan Malaysia melaporkan, Ahmad Bashah turut dijangka memuktamadkan senarai EXCO berkenaan yang akan digandingkan dengan mereka yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan portfolio yang dipegang sebelum ini.

“Senarai sudah ada. Mungkin minggu depan diumumkan dan untuk majlis angkat sumpah kerana ia memerlukan perkenan daripada Tuanku Sultan dan Ahli Jemaah,” katanya.

Antara nama yang disebut-sebut bagi mengisi jawatan berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin; ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Hussain; ADUN Pantai Merdeka, Ali Yahaya dan ADUN Pedu, Kama Noriah Ibrahim.

Sementara itu, beberapa nama yang dijangka dikekalkan sebagai EXCO Kedah antaranya, ADUN Guar Chempedak, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail; ADUN Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain; ADUN Gurun, Datuk Dr. Leong Yong Kong; ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid dan ADUN Belantek, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.