Beliau berpandangan kenaikan levi itu akan meningkatkan kos di sektor swasta yang kini masih sedang mensesuaikan operasi dengan keadaan ekonomi semasa.
“Sekarang ini dianggarkan ada lebih 4 juta pekerja asing yang tidak berdaftar. Secara mudah, kenaikan levi akan menyebabkan lebih ramai pekerja asing tidak didaftarkan.
“Kenaikan levi dua kali ganda bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan akan meningkatkan kos perniagaan yang kini sedang bergelut dengan cabaran untuk lebih kompetitif dalam pasaran, serta menyesuaikan diri dengan kawalan aliran tunai perniagaan ekoran GST,” katanya ketika dihubungi.
Justeru, beliau menyifatkan sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk menaikkan levi dan menggesa kerajaan untuk mengkaji semula keputusan itu.
“Kerajaan juga perlu berbincang dengan sektor perniagaan untuk merangka formula yang lebih sesuai, termasuk untuk memastikan rakyat tempatan bersedia mengambil alih bidang pekerjaan yang kini dilakukan oleh pekerja asing,” katanya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan berkuatkuasa 1 Februari ini, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan meningkat kepada RM2,500, manakala sektor ladang dan pertanian kepada RM1,500.
Namun menurut laporan The Star Online hari ini, Zahid berkata kerajaan akan mengkaji semula langkah itu selepas mengambil kira bantahan pelbagai pihak.