Beliau berkata, ini kerana ia akan mengurangkan lambakan pekerja asing tidak berkemahiran yang selama ini menyekat peningkatan produktiviti negara.
“Kebanyakan syarikat tidak berminat melatih pekerja asing untuk meningkatkan kemahiran mereka, kerana menganggap mereka hanya bekerja untuk satu tempoh tertentu.
“Keadaan itu diharap akan digantikan dengan pekerja tempatan yang berkemahiran, seterusnya meningkatkan produktiviti,” kata pensyarah Universiti Tun Abdul Razak itu.
Katanya lagi, pekerja berkemahiran juga akan mengurangkan bilangan buruh yang diperlukan sesebuah syarikat dan akan membawa kepada peningkatan kadar upah di Malaysia.
“Ini amat penting kerana kadar upah di negara ini lebih rendah berbanding negara jiran. Kadar upah di Malaysia adalah satu per empat daripada di Singapura,” katanya lagi.
Selain itu, katanya lagi, pengurangan buruh asing juga akan mengurangkan aliran wang ke luar negara – ketika ini kira-kira RM35 bilion setahun – dan seterusnya mengukuhkan mata wang negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan berkuatkuasa 1 Februari ini, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan meningkat kepada RM2,500, manakala sektor ladang dan pertanian kepada RM1,500.
Barjoyai mengkritik tindakan menaikkan kadar levi secara mendadak sehingga menyebabkan kejatuhan harga saham syarikat di sektor terlibat.
“Kenaikan lebih dua kali ganda ini agak mengejutkan sehingga saham syarikat pembinaan dan perladangan jatuh. Ia juga dibuat tanpa perbincangan dengan sektor yang terlibat.
“Ini memberi tanda bahawa kerajaan boleh membuat keputusan secara mengejut dan tanpa rundingan pada masa akan datang,” katanya lagi.