Cadangan Peguam Negara zalim, tidak demokratik – NUJM

Cadangan Peguam Negara zalim, tidak demokratik – NUJM

Ia merupakan satu kezaliman kerana tugas wartawan adalah untuk melaporkan kebenaran dan bukan sebaliknya.

Pengamal media dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan bertulis daripada Peguam Negara atau menteri terlebih dahulu sebelum melaporkan sebarang berita.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJM) berkata langkah itu bagi mengesahkan ianya bukan maklumat bocor, atau awas, ketua editor anda akan dihukum.

“Walaupun kita hanya melaporkan sahaja tetapi dikhuatiri nanti berita tersebut adalah maklumat yang dibocorkan oleh orang lain, dan kita semua tahu kuasa yang ada pada Peguam Negara seperti yang ditunjukkannya baru-baru ini.

“Semua pihak dalam industri media mestilah bersedia daripada sekarang. NUJM tidak boleh bertanggungjawab terhadap risiko ahlinya dipenjara seumur hidup dan/atau 10 sebatan,” kata Setiausaha Agung NUJM, Schave Jerome de Rozario.

Sindiran itu dimuatkan dalam kenyataan media NUJM yang diterima FMT petang tadi, sebagai menyambut cadangan Peguam Negara meminda Akta Rahsia Rasmi supaya pengamal media mendedahkan sumber berita masing-masing.

NUJM sebulat suara menentang cadangan itu yang disifatkan sebagai anti-demokratik, dan mengongkong wartawan daripada menjalankan tugas dengan lancar.

“Setiap rakyat Malaysia wajib mengetahui apa-apa sahaja yang ada kaitannya dengan agama, bangsa dan negara Malaysia,” katanya,

Schave menegaskan, wartawan mempunyai ruang lingkungan tugas mengikut skop tertentu iaitu setiap wartawan disarankan mematuhi rukun moral yang digariskan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (National Union of Journalists Peninsular Malaysia).

“Seterusnya, laporan yang dibuat hanya berdasarkan fakta-fakta yang jelas dan sahih berdasarkan sumber yang jelas dan sah.

“Cara yang digunakan untuk mendapat berita, gambar dan dokumen penting hendaklah secara jujur dan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

“Wartawan juga mestilah sanggup menyiarkan kembali kenyataan yang benar jika berlaku kesilapan dalam laporan awal. Wartawan juga perlu menghormati dan memelihara hak sumber supaya tidak menyiarkan sumber yang tidak menginginkan namanya disebut,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.