
Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, pihaknya mengulangi bahawa transaksi itu jika diluluskan akan membawa kerugian besar kepada pemegang saham dalam kalangan institusi dan individu di Malaysia.
“PERDASAMA juga merayu kepada Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti supaya menjalankan peranan masing-masing secara serius demi menjaga kepentingan pemegang saham.
“Perkara ini amat penting oleh kerana kira-kira 30% saham SRC dimiliki oleh institusi seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWSP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penjualan tersebut yang tertakluk kepada kelulusan pihak kawalselia merupakan diskaun sebanyak 63.6% daripada harga saham SRC pada hari terakhir urusniaganya Jumaat lepas iaitu RM4.94 sebelum pengumuman transaksi dibuat pada Isnin.
Katanya lagi, syarikat gergasi global Royal Dutch Shell mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian penjualan keseluruhan pegangan 51% atau 153 juta saham dalam SRC kepada Malaysia Hengyuan International Ltd (MHIL) dari China secara tunai bernilai AS$66.3 juta atau AS$0.43 sesaham.
“PERDASAMA menganggap SRC dengan kilang penapis minyaknya di Port Dickson bukan sebuah syarikat biasa tetapi adalah satu aset strategik yang bertanggungjawab menapis kira-kira 30% keluaran minyak mentah negara dan oleh itu tidak harus dijual kepada sebuah syarikat asing,” ujarnya lagi.