TPPA buka peluang pengkarya tempatan ke peringkat antarabangsa

TPPA buka peluang pengkarya tempatan ke peringkat antarabangsa

FINAS diberi peranan utama untuk mengkaji kaedah membawa karya tempatan ke negara luar

AMPANG:
Penyertaan negara dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) harus dilihat sebagai peluang untuk pemain industri kreatif negara bersaing di peringkat global, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Dengan syarat, pemain industri haruslah berdaya saing dan menghasilkan produk yang bermutu tinggi, katanya lagi.

“Jangan lihat TPPA sebagai penghalang industri kreatif untuk berkembang.

“Tetapi ia lebih menjurus kepada pasaran terbuka, membolehkan kita untuk berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Dialog Industri Kandungan Multimedia Negara di FINAS, pagi tadi.

Dialog tersebut antaranya membincangkan isu pengeksportan karya negara dan melibatkan badan industri kreatif seperti FINAS dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Negara (PROFIMA) serta agensi seperti Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Creative Content Industry Guild Malaysia (CCIG).

Jailani berkata lagi, FINAS dan pihak seperti CCGM sudah diamanahkan untuk membawa karya tempatan ke peringkat antarabangsa, dengan rantau Asia Tenggara sebagai permulaan.

“Kalau belum sedia ke peringkat global, kita ke pasaran ASEAN dulu. Pihak seperti FINAS dan CCGM diamanahkan untuk mengkaji cara-caranya.

“Apa yang penting, pemain industri ambil peluang daripada dana-dana yang disediakan kerajaan dan keluarkan karya yang bermutu tinggi,” katanya lagi.

Selepas melalui perdebatan panjang, Malaysia bersama-sama sebelas negara lain akhirnya menandatangani TPPA di satu majlis di Auckland, New Zealand, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.