Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim yang memberitahu, walaupun berdepan dengan jalan yang sukar namun ia perlu dilakukan secara berterusan.
“Saya lihat perkara paling penting untuk mengubah persepsi masyarakat adalah setiap dasar dan perancangan perlu memberi keutamaan kepada agenda kebajikan rakyat.
“Walaupun mungkin sukar, ia perlu dilakukan secara berterusan supaya rakyat dapat lihat keikhlasan dalam setiap perkara dan pendekatan yang ditunjukkan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian Online.
Menurut Irmohizam lagi, UMNO perlu membuktikan kesungguhan tanpa perlu menuding jari ke arah sesiapa dan ia harus dilakukan melalui perbuatan.
“Kalau bercakap sahaja tidak ada kesudahan. Apa yang penting UMNO harus tunjuk dengan perjuangan dan sistem penyampaian yang baik untuk rakyat yakini.
“Semuanya itu bertujuan untuk rakyat membandingkan dengan apa yang tercatat dalam persepsi negatif di media sosial dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, andai pendekatan serius digunakan untuk menangani persepsi negatif itu, tidak mustahil BN akan meraih kemenangan baik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
