Sebaliknya, mereka mendesak agar Datuk Seri G. Palanivel diberikan jawatannya semula sebagai presiden parti utama India itu.
Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas sewaktu ditemui secara terbuka menyatakan bahawa beliau menolak kepimpinan Subramaniam.
“Semalam, MIC menyatakan bahawa mereka sentiasa mengamalkan polisi pintu terbuka. Tetapi kenyataan yang dibuat itu tidak benar.
“MIC sentiasa mengamalkan pintu tertutup. Jika tidak, komuniti masyarakat India tidak akan berpecah kepada banyak parti politik. Hari ini, kita mempunyai 11 parti politik untuk kaum India,” ujarnya dalam sidang media di Pesta Ponggal, Brickfield, hari ini.
Mengulas lanjut, tindakan Subramiam menyingkirkan Palanivel juga tidak seharusnya diiktiraf sebagai suatu tindakan yang sah.
“Tidak ada siapa patut menyokongnya. BN tidak sepatutnya menyokong. Jika parti komponen BN yang lain menyokongnya, mereka merupakan parti komponen yang tidak elok,” tegas Kayveas.
Bagaimanapun, tindakan Kayveas dan pemimpin parti-parti lain itu dikecam oleh Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy.
Menurut Mohana, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan kerana Subramaniam merupakan presiden yang sah dan telah diputuskan oleh pimpinan parti MIC.
“Kepimpinan BN seharusnya menyelar tindakan sebegini. Saya mewakili BN mengkritik dan menggesa agar tindakan terdesak ini dihentikan.
“MIC merupakan parti yang sah dan hanya memiliki seorang presiden yang sah iaitu Subramaniam,” katanya lagi.