Jangan obses kepada label dalam agama, pesan Bakri Musa

Jangan obses kepada label dalam agama, pesan Bakri Musa

Tidak semestinya sesuatu perkara itu mesti membawa kebaikan baharulah ia dianggap Islamik

bakri-2

PETALING JAYA:
Umat Islam di Malaysia perlu keluar daripada perangkap ‘label’ dan ‘simbol’ agama, sebaliknya lebih menekankan isinya, kata penulis Dr Bakri Musa.

“Masalah dengan kita di sini ialah, kita melihat Islam lebih sebagai bentuk, dan bukan isinya, sama ada ia membawa kebaikan atau tidak.

“Umat Islam kita berkata ‘oh ini Islamik maka tentulah ia bagus’. Sebenarnya tidak, sesuatu perkara itu mesti membawa kebaikan baharulah ia dianggap Islamik,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT 28 Jan lalu.

Pakar bedah berusia 73 tahun yang menetap di Amerika Syarikat itu, kini berada di Malaysia bagi pelancaran edisi kedua bukunya ‘Liberating the Malay Mind’ dan versi Bahasa Melayu ‘Memerdekakan Minda Melayu’ hari ini.

Bakri menceritakan kisah pemimpin Mesir dahulu kala yang bertanya kepada muftinya agar menunjukkan kepadanya apakah yang dinyatakan dalam Al-Quran dan hadith tentang menjadi pemimpin yang baik.

“Mufti itu hanya berkata: Jangan bimbang. Anda berikan keadilan, kemakmuran dan keamanan, itulah pemimpin yang berpandukan Islam,” katanya lagi.

“Jika sesuatu perkara itu membawa kebaikan, ia adalah Islamik. Saya tidak peduli apa label yang diberikan kepadanya,” katanya lagi.

Walaupun sudah mencecah usia 70-an, Bakri kelihatan sihat dan tampak bersemangat menceritakan keperluan masyarakat Melayu-Islam di negara ini untuk membuat perubahan diri, tema utama bukunya.

Beliau berkata lagi, kebaikan tinggal di Amerika Syarikat adalah beliau mudah mendapat bahan bacaan Islam yang luas dan tidak tersekat dengan mazhab tertentu sahaja.

“Saya boleh membaca tentang Syiah, Ahmadiah, Sunni, Ismailiah. Saya menemui keindahan dalam Wahabisme, Sufisme,” katanya lagi.

Justeru, beliau kecewa apabila terdapat golongan agamawan di sini, yang tidak senang apabila umat Islam menggunakan fikiran mereka dalam soal agama.

“Akal adalah kurniaan Tuhan paling berharga untuk manusia, dan hanya untuk manusia. Agar kita boleh berfikir dan berimaginasi. Inilah yang membawa kepada kemajuan umat manusia,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.