
Bawah pimpinan Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, PNM berusaha mengikis label masih ‘di takuk lama’ dan bakal tampil dengan elemen sarat teknologi interaktif serta realiti maya menerusi Pusat Pembelajaran Imersif.
Terletak di bangunan utama PNM, pusat itu akan menggamit pengunjung dengan ‘holowall’ dan panel maklumat interaktif serta skrin LED melengkung.

Timbalan Pengarah Pengurusan Projek Digital PNM, Wan Azuan Shah Wan Mohamed, berkata gedung ilmu negara mahu menjadi bukan sekadar tempat menyimpan koleksi buku dan dokumen, tetapi sebagai ruang penerokaan, penciptaan dan inovasi setanding trend pembelajaran digital di peringkat antarabangsa.
“Kita perlu kepada perubahan besar untuk tarik anak muda datang,” katanya kepada FMT.
Selain Pusat Pembelajaran Imersif, PNM juga menyediakan ruang realiti maya, e-sukan, pustaka Robozone, ruang hologram serta ruang meta semesta dan ‘pohon ilmu’ yang semuanya berasaskan teknologi digital.
“Sebenarnya semua permainan interaktif ini adalah daripada bahan-bahan sedia ada di PNM, kita tukarkan dalam bentuk animasi dan juga dalam bentuk interaktif.
“PNM juga angkat elemen perpaduan dengan reka cipta permainan interaktif contohnya suai padan makanan serta pakaian pelbagai kaum dan banyak lagi,” kata Wan Azuan.
PNM juga menaik taraf sistem u-Pustaka yang memberi kemudahan kepada pengguna meminjam buku daripada 12 perpustakaan konsortium seluruh negara, carian katalog dari 191 perpustakaan dan akses 24 jam untuk bahan bacaan digital.

Timbalan Pengarah Kanan Rangkaian Sistem Perpustakaan, Kasuma Dewi Said, berkata u-Pustaka diakui pengguna amat memudahkan dan praktikal.
“Contohnya saya berada di Kuala Lumpur dan mahu meminjam buku yang hanya ada di Sabah. Jadi, perpustakaan di Sabah akan poskan bahan bacaan diminta terus ke rumah saya melalui Pos Laju,” katanya.
Katanya, u-Pustaka menawarkan 293,006 judul bahan bacaan digital yang dilanggan daripada 17 pangkalan data merangkumi e-buku, e-majalah, e-jurnal, e-suratkhabar, buku audio dan e-pembelajaran.
Menurutnya, setakat ini u-Pustaka mempunyai 1,086,604 ahli dengan purata sekitar 100,000 ahli aktif setiap tahun.

Selain itu, PNM memainkan peranan penting sebagai penjaga warisan bangsa. Di bawah Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), ribuan manuskrip lama dalam tulisan Jawi terus dijaga dan didigitalkan supaya tidak luput ditelan masa.
Sejak 1985, PNM mengumpul lebih 5,300 naskhah asal dan hampir 5,000 judul digital – menjadikannya antara pusat koleksi manuskrip Melayu terpenting di dunia.
Timbalan Pengarah Kanan PKMM, Fatimah Abdul Hai, berkata antara manuskrip terbaru diperoleh adalah kitab dipercayai mengandungi amalan Mat Kilau – antara pahlawan menentang penjajahan British di Tanah Melayu.
“Selepas melalui pelbagai peringkat, Alhamdulilah manuskrip itu kini ditempatkan di PNM dan kami alu-alukan orang ramai datang untuk merujuknya dengan lebih mendalam,” katanya.
Sebanyak 10 manuskrip Melayu PNM mendapat pengiktirafan antarabangsa Memory of The World (MOW) manakala 12 diisytiharkan sebagai Objek Warisan Kebangsaan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.