Bekas pegawai tadbir negeri Kedah yang cukup dikenali atas kelantangan bersuara, Datuk Wira Dr Mohd. Shariff Abu Samah, 74, menggesa Najib supaya segera membuat keputusan sama ada mahu menukar Menteri Besar Kedah atau tidak.
Katanya, kelewatan Najib membuat keputusan akan memberi implikasi yang buruk kepada UMNO.
“Saya sudah berkhidmat selama 36 tahun dalam kerajaan negeri, dan belum pernah melihat krisis sebegini di Kedah.
“Jika Najib lambat membuat keputusan dalam kemelut ini, UMNO akan bungkus kerana beliau (Najib) telah membuat rakyat tertanya-tanya.
“Najib perlu buat pengumuman segera sama ada mahu tukar Menteri Besar Kedah atau tidak. Keputusan itu penting,” katanya ketika di temui pemberita di Perkarangan Istana Anak Bukit, Kedah.
Dalam pada itu, Shariff turut menyelar tindakan enam ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang tidak hadir ke mesyuarat bersama Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Exco yang hadir ialah Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Wanita Datuk Suraya Yaacob, Exco Sains, Inovasi dan Teknologi dan Sumber Maklumat Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Aminuddin Omar.
“Tindakan enam exco itu dianggap biadap. Mereka tidak seharusnya mengeruhkan lagi keadaan sekarang.
“Ia hanya memburukkan lagi keadaan. Ini tak elok,” jelasnya.
Shariff sebelum ini memiliki pengalaman berkhidmat selama 36 tahun dalam kerajaan negeri, selain diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Kanan Menteri Besar Kedah, Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin (1967-1978), bekas Pegawai Daerah Bandar Baharu, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (1981-1983).