Polis didakwa tangkap 16 ahli terapi tanpa sebab kukuh

Polis didakwa tangkap 16 ahli terapi tanpa sebab kukuh

Pusat terapi HealthLand Wellness Centre mendakwa tidak mengetahui atas alasan apa pihak polis menangkap ahli terapinya yang berwarganegara Thailand.

Heng-Teik-Kung-,polis

KUALA LUMPUR :
Sebuah pusat terapi HealthLand Wellness Centre mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap seramai 16 orang ahli terapi mereka tanpa mempunyai sebab dan alasan yang kukuh.

Pengarahnya Heng Teik Kung mendakwa, pihaknya juga tidak mengetahui atas alasan apa pihak polis menangkap 16 warganegara Thailand itu kerana mereka mempunyai permit yang sah.

“Mereka cakap kepada ahli terapi kami supaya tidak membuat panggilan telefon,” katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Travers, semalam.

Menurut Teik Kung, seramai enam anggota polis daripada Balai Polis Travers memasuki premisnya di Taman Desa kira-kira jam jam 9 malam pada Ahad lalu.

“Mereka membuat keputusan untuk menangkap mereka tanpa ada rundingan untuk menjawab segala persoalan,” katanya. Teik Kung tidak berada di premisnya ketika kejadian berlaku.

Kejadian itu merupakan kali kedua yang berlaku di premisnya pada bulan ini.

Menurutnya, kejadian pertama yang dialami oleh pusat terapinya adalah di Taman Connaoght tiga minggu lalu dan beliau juga tidak mengetahui atas alasan apa polis turut menyerbu premisnya di kawasan terbabit.

Ketika berita ini disunting pada 12.30 tengah hari, FMT difahamkan 12 orang ahli terapi telah dibebaskan malam tadi, manakala 4 lagi ahli terapi masih ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.