Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah menjelaskan, pihaknya yakin keadaan ekonomi negara akan kekal stabil.
“Kita masih dalam keadaan selamat walaupun harga minyak jatuh ke paras AS$30 setong kerana mempunyai pendapatan tambahan yang datang daripada sumber lain.
“Kita akan berjaya mengekalkan kedudukan ekonomi,” ujarnya dalan forum selepas pembentangan penstrukturan Bajet 2016, di PICC, hari ini.
Antara sumber lain yang dipercayai terus menjamin ekonomi negara adalah pertambahan pelancong dari China ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan yang memansuhkan visa dan penstrukturan rokok dan minuman keras yang akan dijual di pulau bebas cukai.
Ujar beliau lagi, Kerajaan Persekutuan juga dijangka memotong sebanyak RM9 bilion yang menyaksikan RM5 bilion datangnya daripada perbelanjaan pembangunan dan RM4 bilion daripada perbelanjaan operasi.
Ditanya mengenai langkah kerajaan jika harga minyak dunia terus menjunam ke paras AS$20 setong, Irwan berkata, keadaan itu akan menyebabkan seluruh dunia terkesan.
“Setiap negara pengeluar minyak akan menghadapi masalah dalam situasi itu,” ujarnya.
