
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM267.2 bilion dalam Bajet 2016, dengan perbelanjaan operasi berjumlah RM215 bilion manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM49 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 berkata sasaran kadar defisit untuk 2016 kekal pada 3.1 peratus berbanding KDNK seperti yang diumumkan sebelum ini, lapor Bernama.
Malah beliau turut menegaskan Malaysia tidak mengalami kemelesetan ekonomi mahu pun kemelesetan teknikal.
Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan KDNK 2016 disemak semula kepada 4.0 hingga 4.5 peratus dengan andaian purata harga minyak mentah Brent pada US$30 hingga US$35 dolar Amerika setong.
Najib juga memberi jaminan bahawa kadar hutang negara akan terus berkurangan dan tidak melebihi paras berhemat 55 peratus kepada KDNK.
Dasar monetari juga adalah akomodatif dan kadar faedah dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri.
Ini bermakna kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit.