Insiden pengeboman yang berlaku di Sarinah Thamrin di tengah Jakarta pada Khamis lalu hingga mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh nyawa telah menimbulkan kebimbangan kepada rakyat di negara jiran.
Dalam insiden itu, lebih 20 lagi mangsa cedera parah termasuk lima anggota polis republik berkenaan.
Serangan yang tidak diduga oleh pengganas di negara itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita yang merupakan negara jiran paling hampir dengan Indonesia.
Meskipun pengumuman telah dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia mengenai langkah keselamatan yang diambil dalam memastikan insiden seperti itu tidak berlaku di sini namun, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini mengenai beberapa kawasan yang dikatakan berpotensi menjadi titik panas serangan pengganas sememangnya menggusarkan kita.
Sungguh berani Tengku Adnan menyatakan perkara itu kepada umum, penulis percaya tersebarnya berita mengenai kenyataan tersebut secara pantas menerusi saluran media sosial pasti ramai dalam kalangan kita terutama penduduk Lembah Klang, secara tiba-tiba bertukar perasaan menjadi ketakutan.
Bagi mengelakkan ketegangan berlaku, beberapa jam selepas itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar cuba mengubah suasana apabila beliau menerusi twitter menyatakan agar pihak tertentu menghentikan spekulasi berhubung keselamatan bandar raya dan negara yang merungsingkan rakyat.
Sungguhpun begitu, situasi ini telah menimbulkan cakap-cakap dalam kalangan rakan penulis tentang kebenaran dan kewajaran kata-kata Tengku Adnan hingga mendapat respon daripada polis.
Tengku Adnan mungkin terlepas cakap kepada pemberita mengenai perkara tersebut gara-gara mahu mengulas mengenai insiden berkenaan.
Sejauh mana kesahihan maklumat risikan yang diperolehi Tengku Adnan itu, bagi penulis, saya sangat yakin ia adalah maklumat yang benar, apatah lagi individu yang menyampaikannya adalah seorang menteri.
Tidak kiralah daripada mana beliau mendapatkan maklumat, isunya apa yang dibangkitkan itu adalah mengenai keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menangani isu ini.
Apa yang rakyat mahukan adalah agar insiden yang sama pernah berlaku di Turki itu tidak akan terjadi di negara ini.
Sama-samalah kita mendoakannya. Rakyat Malaysia mahukan kedamaian. Saya yakin tidak ada dalam kalangan kita yang mahu mensabotaj negara. Anak cucu kita ada di sini.
