Polis jangan berat sebelah isu Pasar Borong Selayang

Polis jangan berat sebelah isu Pasar Borong Selayang

Polis diminta supaya tidak memberikan perlindungan sekiranya ada rakyat tempatan atau warga asing melakukan kesalahan.

Zafar Ahmad Abdul

PETALING JAYA:
Polis digesa tidak bersikap berat sebelah dalam menangani kejadian tembakan rambang dan bunuh yang berlaku di Pasar Borong Selayang, minggu lalu.

Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, isu pergaduhan yang melibatkan rakyat tempatan dan warga asing ini sememangnya serius.

“Isu ini memang serius. Kejadian seperti ini menjejaskan perniagaan terutamanya perniagaan peniaga di pasar borong tersebut. Diharap, polis dapat menyiasat punca dan menahan pelaku jenayah itu,” ujarnya kepada FMT, di sini, hari ini.

Jelas Zafar lagi, kerajaan juga harus bertindak tegas bagi menggelakkan kejadian terbabit berulang kembali pada masa depan.

“Kita manusia sama, makan sama. Kalau ada apa-apa kesalahan yang dilakukan, kerajaan harus tunjukkan kuasa. Kalau orang asing melakukan kesalahan, sila ambil tindakan.

“Ambil tindakan tanpa sebarang prejudis dan jangan berikan perlindungan jika warga asing melakukan kesalahan. Begitu juga dengan rakyat tempatan,” jelasnya lagi.

Dalam kejadian itu, beberapa individu dikatakan melepaskan tembakan secara rambang di pasar borong berkenaan sehingga mencederakan seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.